Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang disokong oleh gabungan masyarakat pelbagai kaum. Keunikan masyarakat Malaysia ialah memiliki sikap saling bertolak-ansur yang diamalkan sejak laungan merdeka mewarnai bumi bertuah ini.(F) Ironinya, simpulan perpaduan itu mula goyah apabila terdapat campur tangan anasir-anasir jahat yang mempunyai agenda sulit untuk mencapai kepentingan mereka sendiri.(A) Maka, masyarakat Malaysia perlu segera celik akan kepentingan perpaduan kaum dan berusaha membenihkan semula semangat perpaduan persis peribahasa bersatu teguh bercerai roboh agar terus bercambah serta menjadi pegangan hidup.(L)Sekiranya masyarakat Malaysia masih leka dan lalai dengan kecanggihan era digital yang mendominasi hidup mereka tanpa menghiraukan kepentingan perpaduan kaum, sesungguhnya padah akan menanti negara ibarat retak menunggu belah sahaja(C) demi memartabatkan nama Malaysia di peta dunia, rakyat Malaysia perlu bersama-sama melakukan anjakan paradigma ke arah penyatuan kaum yang lebih efisien dan bermakna.(K)
Tidak dapat disangkal bahawa masyarakat yang harmoni merupakan kesan perpaduan kaum yang utuh. Penerimaan adat dan budaya kaum lain merupakan elemen penting dalam menjana perpaduan. Amalan ini mencetuskan rasa saling menghormati dan sudah pasti setiap kaum akan mengelakkan sebarang insiden yang boleh menggores hati kaum yang lain. Percampuran budaya yang tercetus hasil perkahwinan campur juga menjadi bonus ke arah perpaduan antara kaum, sekaligus melahirkan masyarakat yang harmoni di Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh bahawa perpaduan kaum yang teguh akan melahirkan masyarakat yang harmoni.
Seterusnya, keharmonian yang tercetus hasil daripada ikatan perpaduan yang erat mampu memajukan ekonomi negara. Hal ini boleh dijelaskan melalui peningkatan jumlah pelabur asing yang berminat untuk menjana perniagaan mereka di Malaysia kerana persekitaran perniagaan yang aman pasti mendatangkan keuntungan yang maksimum kepada mereka. Jika jumlah pelaburan asing tinggi di Malaysia, peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia akan terbuka luas. Secara tidak langsung, bukan sahaja ekonomi negara meningkat secara global tetapi ekonomi rakyat juga akan semakin rancak disebabkan peluang-peluang yang menjelma. Hal ini cukup membuktikan bahawa perpaduan kaum mampu meningkatkan ekonomi negara.
Perpaduan kaum yang utuh juga memangkinkan kehidupan yang berkualiti sehingga menjadikan negara kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain. Imej sebagai sebuah negara berbilang kaum yang sentiasa berpaksikan perpaduan sentiasa menjadi buah mulut negara luar. Banyak negara yang kagum akan dasar-dasar kerajaan yang berjayamentransformasikan negara ke arah negara maju tanpa meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan terutamanya semangat perpaduan antara kaum. Pengiktirafan Malaysia sebagai penanda aras dalam memacu hubungan rakyat yang mesra merupakan satu tanda penghargaan negara luar terhadap keistimewaan acuan kemajuan negara kita sendiri. Jelaslah bahawa perpaduan kaum menjadikan imej negara kita menarik pada pandangan masyarakat dunia.
Selain itu, asimilasi pelbagai budaya rakyat Malaysia diterima sebagai satu budaya unik di bawah satu bumbung. Hal ini menjadi satu elemen menarik yang menggamit minat pelancong asing untuk datang bertandang dan menyaksikan sendiri kehebatan bangsa Malaysia. Rakyat Malaysia yang sudah terdedah dengan konsep berkompromi selagi tidak mencuit isu sensitif berkaitan agama merupakan rakyat yang ramah dan mesra serta mudah menerima kedatangan rakyat asing ke dalam kelompok peribadi mereka. Jadi, tidak hairanlah jika rakyat Malaysia yang bersatu padu sedia memberikan layanan kelas pertama kepada pelancong yang datang untuk mengalami keunikan Malaysia.
Kesimpulannya, kita mesti hidup berlandaskan konsep bagai aur dengan tebing tanpa mengira kaum dan menjadi pegangan kepada setiap warga Malaysia agar perpaduan kaum terus mekar hidup di hati rakyat Malaysia. Usah dibiarkan sejarah perbalahan kaum melakar dakwatnya kerana kesan negatifnya sangat memeritkan. Bersama-samalah kita rakyat Malaysia berjuang demi melahirkan bangsa Malaysia jenama baru yang sentiasa ikhlas bersatu di bawah slogan 1 Malaysia.
Karangan Perpaduan ini bagus sangat!
ReplyDelete